Wednesday 30 March 2011

NORA NAMA BESAR PERSURATAN YANG HAMPIR DILUPAKAN

PENULIS (kiri) ketika bertemu Pak Nora di rumahnya di Rawang, Selangor baru-baru ini.(foto: Utusan Malaysia.)


Perjalanan hidupnya panjang dan berliku. Beliau tersisih dari kehidupan dan rakan-rakan. Selepas zaman kemuncaknya dalam dunia sastera beliau kini menjalani kehidupan hari tua yang sepi. Kudrat untuk berkarya semakin susut ditambah pula ingatannya semakin berkurangan.

Demikianlah kenyataan hidup seorang sasterawan Haji Ali Haji Ahmad atau Nora yang pernah mencatatkan nama di persada dunia sastera negara ini.Pertemuan saya dengan Pak Nora kali ini amat berbeza dengan pertemuan dulu terutama ketika beliau masih bertugas di Utusan Melayu. Kini Pak Nora menderita akibat angin ahmar menetap di Taman Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Pak Nora kini berusia 81 tahun, uzur dan menghidapi alzheimer, perlahan-lahan hilang daya ingatannya. Namun kudrat kemahuannya masih ceria dan bersemangat bercerita tentang sastera , dunia penulisan dan kewartawanan.

Pak Nora lahir di Kampung Sungai Mati, Muar, Johor pada 25 Jun 1927. Mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan polis (1951-1959) tetapi kerana minat mendalam dalam bidang penulisan, beliau diberhentikan.Kemudian berpindah ke Kuala Lumpur menceburkan diri dalam bidang kewartawanan di Utusan Melayu pada 1969 hingga 1982. Di samping menulis cerpen, beliau aktif menghasilkan drama (pentas, radio dan tv), novel dan esei. Antara novelnya ialah Puntung Hanyut (1965), Gelodak (1968), Gelandangan (1975) dan Kemarau di Hujung Daun (1977), lktikaf (1994) dan banyak lagi.

Pada tahun 1976, beliau memenangi hadiah ketiga mengarang novel anjuran GAPENA dengan judul Seribu Musim Kering. Cerpen-cerpennya terkumpul dalam kumpulan cerpen perseorangan, Di Kelopak Senja (1973) dan lain-lain lagi. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil dan Hadiah Karyawan Sastera Johor.

Hari ini Pak Nora meneruskan kehidupan yang yang di penghujung. Sejak enam tahun lalu isterinya, Maznah juga terlantar akibat angin ahmar. Dahulu isterinyalah yang membuat kuih-muih tradisional untuk Pak Nora menghantarnya ke gerai-gerai sekitar Ampang Jaya, Selangor. Kini keadaan sudah banyak merubah hidupnya. Kedua-dua mereka terlantar tidak berdaya dan mengharapkan bantuan orang untuk menguruskan hidup.
Apakah dalam mengejar kebendaan masyarakat kita kini, tiada pihak yang menyanjungi insan yang menghasilkan banyak khazanah bangsanya? Saya berharap kita tidak hanya mengenangkan seniman kreatif setelah ketiadaannya. Semoga karya-karya beliau dapat dihayati oleh generasi muda dengan beberapa inisiatif yang boleh difikirkan bersama untuk dihadirkan kembali kepada khalayak.

Saya sebenarnya telah lama berhajat berkunjung ziarah ke rumah Pak Nora. Saya pernah ke rumah beliau di Ampang Jaya dan bermalam di situ pada tahun 1976 dahulu sewaktu melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur.Malah saya pernah berkunjung ke meja penyunting ruangan Sastera Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia/Utusan Zaman ketika Pak Nora bertugas di sana. Pak Nora pada ketika itu berkhidmat sebagai wartawan dan penyunting akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin , Kuala Lumpur.

Semarak obor semangat dalam bidang penulisan ketika itu dibajai hasil kunjungan ke pejabat Utusan Melayu sekaligus mendekati Pak Nora yang menjadi kebanggaan kampung halaman kelahiran saya di Johor. Kesan kunjungan itu karya-karya saya yang menggunakan pelbagai nama pena yang memaparkan pelbagai kisah kasih sayang dan masyarakat mendapat tempat di akhbar Utusan Malaysia dalam kolum Secebis Kisah yang dikelolakan Pak Nora.
Bersara
Walaupun seribu musim datang dan pergi namun kenangan saya kepada Pak Nora tetap segar dalam ingatan. Kami saling berhubung sehinggalah beliau bersara daripada Utusan Melayu pada tahun 1982. Kemudian Pak Nora bergerak cergas dalam pertubuhan Al-Arqam dan mengasuh beberapa penerbitan Al-Arqam dan beberapa penerbitan lain yang bercorak keagamaan dan dakwah.

Kali terakhir saya menemui Pak Nora pada tahun 1987 di majlis baca puisi di UPM Serdang, Selangor. Selepas itu kami berpisah dan tidak kesempatan bertemu. Tetapi baru-baru ini saya berkesempatan berkunjung ke sebuah kedai buku dan menemui sebuah autobiografi kisah hidup Pak Nora yang disusun oleh Zakaria Sungip daripada Penerbitan Galeri llmu.

Pak Nora selepas bersara daripada Utusan Melayu lebih dikenali sebagai "Sasterawan Agama" yang terus menerus mengalirkan tintanya untuk dakwah dan tarbiah. Khalayak bukan hanya membaca fakta, cerita dan kenangannya tetapi turut juga merasakan detak dan nilai rasa, limpahan sungai pengalaman kehidupannya dan sama-sama merasai bahang keyakinan menerusi himpunan tulisan Pak Nora yang sarat dengan nilai dakwah dan tarbiah di media-media dakwah tanah air.

Saya berjaya menghubungi Zakaria Sungip di Galeri llmu dan daripada beliau akhirnya penulis dapat berhubung dengan anak Pak Nora dan menjelaskan keadaan beliau.(Petikan Utusan Malaysia, Pak Nora tabah meredah sengsara Rajiee Hadi, 27 mac 2011).

Komen:
Orang kata semakin lama kita meniti usia semakin banyak pengalaman mengajar kita. Asam garam hidup sudah semakin hilang masam dan masinnya. Hanya yang tinggal catatan kreatif suka-duka ketika meluahkan rasa dan perasaan. Demikian itu pula tokoh ternama Nora seperti yang diceritakan Rajiee Hadi di atas.

Apakah simpati hanyalah setakt membaca catatan Rajiee atau kita masih berupaya lebih daripada itu.Tidakkah terlintas dalam hati untuk sekadar menjengah bertanya khabar? Nora dalam keadaan uzur memerlukan dukungan moral, paling-paling. Tokoh ternama dalam bidng persuratan tanah air ini tinggal dekat, sekitar di Ibukota, iaitu di Taman Bandar Tasik Puteri,Rawang. Cuma alamatnya tidak dinyatakan kerana Bandar Tasik Puteri Rawang itu daerah yang luas. Malah Bandar Tasik Puteri itu sendiri kira-kira 12 km jauhnya dari pekan Rawang menuju ke Kuala Selangor.

Mungkin Rajiee Hadi boleh membantu memberitahu alamat Nora agar kawan-kawan penulis dapat menziarahi beliau. Dalam saat-saat beginilah Nora memerlukan kita. Minimum, kehadiran kawan-kawan dan peminat sastera akan membantu menghilangkan kesepiannya mengatasi "the deafening silence" yang membingarkannya saban ketika.

2 comments:

  1. wartawan pencen31 March 2011 at 08:41

    Sesiapa yang nak tahu alamat dan rumah Nora mungkin boleh hubungi Utusan Melayu, kot! Dia orang mesti ada simpan fail alamat, patah lagi Nora pernah bertugas di Utusan dulu.

    ReplyDelete
  2. Alamat Nora boleh diperolehi daripada Zakaria Sungip, editor Galeri llmu Sdn.Bhd penerbit majalah ASUH dsb di Damansara, SDE.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BLOG MENARIK

FAMILY BLOGS